MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa parti itu telah mengemukakan dua nama calon Menteri Besar Perlis untuk dipertimbangkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Menurut beliau, PAS masih menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis walaupun keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu digugurkan.
“PAS masih mempunyai enam kerusi, manakala BERSATU hanya lima. Oleh itu, PAS layak mengemukakan calon Menteri Besar,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Jumaat.
Pada Rabu lalu, PAS memutuskan bahawa keahlian tiga ADUN Perlis terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.
Tiga ADUN berkenaan ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Mengulas isu peletakan jawatan Mohd Shukri sebagai Menteri Besar Perlis, Abdul Hadi menegaskan bahawa ia bukan disebabkan tindakan lapan ADUN, termasuk lima daripada BERSATU, yang menandatangani SD bagi menukar Menteri Besar, sebaliknya berpunca daripada faktor kesihatan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata PAS bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Perlis.
“Kita telah membuat persiapan termasuk menghadapi PRK di tiga DUN susulan keahlian wakil rakyat PAS yang telah gugur,” katanya.
Mengulas cadangan supaya tiga ADUN yang digugurkan itu mengemukakan rayuan, Abdul Hadi berkata mereka telah melakukan kesalahan besar terhadap parti dan didapati melanggar bai‘ah.
“Mereka boleh mengemukakan rayuan, namun terpulang kepada parti untuk menerima atau menolaknya,” katanya.
Baca juga:








