PAS Tarik Diri Daripada EXCO Kerajaan Negeri Perlis

KUALA LUMPUR: PAS memutuskan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu tidak akan menyertai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bakal dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti terhadap peletakan jawatan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat walaupun PAS kekal komited untuk meneruskan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“PAS komited untuk terus berada dalam kerajaan negeri Perlis selaras dengan mandat rakyat. Namun pada masa sama, PAS tidak akan menganggotai EXCO yang akan dibentuk oleh Menteri Besar yang baharu.

“Sehubungan itu, semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abu Bakar memaklumkan bahawa rombakan dan pelantikan barisan EXCO baharu kerajaan negeri dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, perbincangan akan diadakan terlebih dahulu bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail, sebelum cadangan dikemukakan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Ketika ini, empat wakil PAS berada dalam senarai EXCO Perlis iaitu Wan Badariah Wan Saad (ADUN Mata Ayer), Muhammad Azmir Azizan (Santan), Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang) dan Razali Saad (Simpang Empat), selain Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan.

Seorang lagi wakil PAS sebelum ini, Mohd Ridzuan Hashim, gugur keahlian dalam parti menyebabkan kerusi DUN Guar Sanji diisytiharkan kosong.

Selain itu, dua lagi kerusi DUN milik PAS iaitu Chuping yang disandang Saad Seman dan Bintong oleh Fakhrul Anwar Ismail turut diisytiharkan kosong susulan kemelut politik yang melanda PN Perlis.

Dengan perkembangan itu, PAS kini memiliki enam daripada keseluruhan 15 kerusi DUN di Perlis, manakala BERSATU menguasai lima kerusi dan satu lagi kerusi iaitu Indera Kayangan disandang Pakatan Harapan (PH).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat