PAS terdesak main sentimen kaum isu pelantikan menteri

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: PAS seakan terdesak kerana kerap sekali memainkan isu pelantikan Jemaah Menteri berasaskan sentimen kaum dan bukannya merit, kata Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil.

Beliau mengulas susulan kenyataan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertikaikan beberapa pelantikan dalam Kabinet.

Menurutnya kenyataan tersebut disifatkan tidak wajar dan berpotensi mencetuskan sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.

“Takiyuddin tidak seharusnya mempertikaikan pelantikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan serta timbalannya hanya berdasarkan latar belakang kaum, selain mengaitkan pelantikan Nga Kor Ming sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan naratif kononnya DAP mendominasi Kuala Lumpur.

“Isu sama pernah dibangkitkan sebelum ini oleh seorang lagi pemimpin PAS iaitu Zaharudin Muhammad berhubung pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Sen sebagai Leftenan Jeneral,” katanya dalam satu kenyataan.

Faiz menegaskan, pelantikan Hannah Yeoh seharusnya dinilai berdasarkan merit serta rekod prestasi beliau sebagai menteri dan Ahli Parlimen, selain sokongan yang diterima daripada rakyat pelbagai kaum.

Beliau turut menjelaskan bahawa Hannah Yeoh merupakan Ahli Parlimen Segambut yang terletak dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan pelantikannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan relevan dan bertepatan dengan keperluan setempat.

Selain itu, katanya, PAS pernah menyokong Hannah Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2008.

Mengulas dakwaan DAP dan kaum Cina menguasai pentadbiran kerajaan, Faiz berkata naratif itu tidak berasas memandangkan DAP hanya mempunyai lima ahli Kabinet, iaitu sekitar 15 peratus daripada keseluruhan 32 menteri, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau menambah, jumlah itu lebih rendah berbanding peratusan kerusi DAP di Parlimen, iaitu 40 daripada 222 kerusi atau sekitar 18 peratus.

Menurutnya lagi, setiap dasar penting termasuk Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu dibentang dan diluluskan secara kolektif oleh Jemaah Menteri yang majoritinya terdiri daripada menteri Melayu Islam, iaitu seramai 21 orang atau hampir 64 peratus daripada keseluruhan Kabinet.

Sehubungan itu, Faiz menyeru rakyat supaya terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menolak sebarang bentuk politik perkauman demi memastikan kepimpinan negara yang inklusif dan berpandangan jauh.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat