KUALA LUMPUR: PAS didakwa sebagai rakan politik yang tidak stabil serta berisiko menjejaskan pentadbiran negara sekiranya diberi peluang memerintah, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil hari ini.
Katanya, PAS mempunyai rekod hubungan politik yang rapuh apabila menyertai sekurang-kurangnya tujuh pakatan utama sejak 1973, namun kebanyakannya gagal bertahan dan berakhir dengan konflik serta perpecahan.
“Gabungan ketika ini iaitu Perikatan Nasional (PN) juga sudah semakin nazak. Umum mengetahui PAS menjadi punca perpecahan dan kali ini giliran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menjadi mangsa. Semuanya adalah untuk menghalalkan keghairahan PAS menjadi bos besar PN atau mana-mana pakatan politik.
“Selagi PAS berada dalam sesuatu pakatan, risiko perpecahan, ketidakstabilan dasar dan krisis kepercayaan sentiasa menghantui. Ini bukan soal persepsi, tetapi fakta yang berulang kali berlaku. PAS ibarat ‘kambing apabila didekati, pasti ada yang lari kerana baunya’,” katanya.

Mengulas kemampuan PAS mentadbir negara, beliau berkata tiada parti tunggal pernah memerintah secara bersendirian berdasarkan rekod 15 pilihan raya umum, sekali gus menjadikan peluang PAS untuk mentadbir negara sebagai berisiko tinggi.
Beliau turut merujuk kepada era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, dengan mendakwa PAS telah mengkhianati UMNO apabila memilih Bersatu dalam PN berbanding Muafakat Nasional.
“PAS juga gagal memerintah dengan bersih seperti yang dituntut oleh Islam. Ini diakui oleh presiden PAS sendiri. Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata bahawa krisis politik Perlis timbul apabila banyak projek besar tidak mengikut peraturan dan terlibat dengan rasuah.
“Seharusnya, Presiden PAS yang mengetahui tentang jenayah rasuah tersebut membuat laporan kepada SPRM, yang mana gagal dilakukan boleh menjadi suatu kesalahan di bawah seksyen 25 Akta SPRM 2009,” ujarnya lagi.

Tidak hanya itu, dakwa Faiz, prestasi ekonomi negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS-PN, khususnya negeri-negeri SG4, adalah lemah.
Malahan, menurutnya, negeri-negeri terbabit gagal menarik pelaburan domestik dan asing, dengan kemasukan pelaburan di Kedah banyak bergantung kepada inisiatif agensi persekutuan.
Kenyataan itu dibuat ketika landskap politik negara terus berdepan cabaran kestabilan serta perbahasan mengenai hala tuju kepimpinan dan tadbir urus negara.
Baca juga:








