KUCHING: Tragedi di Taman Mutiara, Sri Aman pada Rabu lalu merungkai kisah pilu apabila sepasang suami isteri ditemukan maut di kediaman mereka.
Hasil bedah siasat mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah berpunca daripada luka tikaman.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan kes berkenaan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak.
Menurut beliau, proses bedah siasat dilakukan pada Khamis di Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak oleh pakar patologi.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa lelaki mengalami 11 kecederaan akibat objek tajam di bahagian leher dan dada.
“Punca kematian disahkan sebagai kecederaan pada leher dan dada akibat luka tikaman,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, pemeriksaan terhadap mangsa wanita turut menemui kesan tikaman di bahagian leher.
“Sebab kematian mangsa perempuan disahkan sebagai kecederaan pada leher akibat luka tikaman,” katanya.
Setakat ini katanya, seramai 21 saksi telah dirakamkan keterangan termasuk ahli keluarga, jiran serta rakan sekerja mangsa.
Namun, motif sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.
“PDRM Kontinjen Sarawak menegaskan siasatan dijalankan secara profesional, telus serta berasaskan bukti forensik dan keterangan saksi,” kata beliau.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta diminta menghormati privasi keluarga mangsa.
Mangsa lelaki berusia 45 tahun merupakan seorang guru besar di sebuah sekolah rendah di Sri Aman, manakala isterinya yang berusia 44 tahun bertugas sebagai jururawat di Hospital Sri Aman.
Kedua-duanya ditemui tidak bernyawa di kediaman mereka pada awal pagi Rabu.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.








