Pasangan suami isteri dipercayai bersekongkol bekalkan senjata api kepada lelaki Israel

Tindakan sepasang suami isteri berusia 42 dan 40 tahun membeli senjata di Thailand sebelum dijual kepada lelaki warga Israel merupakan pasangan yang ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor pukul 7.15 pada Jumaat.

Pasangan terbabit dipercayai bersekongkol dengan membekalkan senjata api kepada lelaki Israel berkenaan.

Memetik Berita Harian, pasangan berkenaan mengakui mereka membeli senjata di Thailand dan diserahkan kepada seorang lelaki warga asing dipercayai rakyat Israel itu. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, siasatan lanjut masih berjalan di semua sudut bagi mengesan mereka yang terbabit dalam kes itu.

Terdahulu, pasangan itu telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebaik ditahan, polis membawa suspek ke kediaman mereka, juga di Kuala Selangor, sebelum menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas di dalam Honda Jazz milik mereka.

Difahamkan, suspek lelaki yang dipercayai individu bertanggungjawab membekalkan enam pistol kepada lelaki warga Israel yang memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis.

Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama lelaki warga Israel terbabit memasuki negara ini, selain tujuannya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.

Pada Jumaat, tindakan seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.

Siasatan polis mendapati, semua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat