Pasangan Suami Isteri Masih Hilang, Bot Terbalik di Perairan Tanjung Harapan

PELABUHAN KLANG: Dua individu masih hilang selepas sebuah bot yang dinaiki enam orang termasuk sepasang suami isteri, dipercayai terbalik di perairan Tanjung Harapan, petang semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor kini giat menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan pasangan yang hilang, dikenali sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, operasi CARILAMAT diaktifkan pada 5.16 petang, selepas Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

“Operasi digerakkan segera dengan penyertaan aset Maritim Malaysia dan dibantu agensi sahabat seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sokongan bot penumpang berhampiran lokasi.

“Bot yang terbalik telah berjaya ditunda ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 0.3 batu nautika dari Tanjung Harapan, tiga mangsa telah ditemui dalam ruang hadapan bot, Darren Gan, 3 tahun (anak kepada pasangan hilang) dan Cheu Son Hin, 50 tahun, namun kedua-duanya telah disahkan meninggal dunia.

Turut terkorban ialah Fong Yong Sen, 29 tahun, rakan kepada pasangan tersebut yang juga ditemukan tidak bernyawa di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa, Chang Yan Qin Alvin, 17 tahun, berjaya diselamatkan.

Hasil siasatan awal mendapati bot tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik.

Operasi CARILAMAT disambung pada 7.00 pagi tadi dengan pihak Bomba melakukan kerja-kerja penyelaman kerana berkemungkinan kedua-dua mangsa masih berada di dalam bot yang sebahagiannya dipenuhi lumpur.

Bagi menyelaras operasi dengan lebih efektif, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di Pejabat Maritim Negeri Selangor.

Sebarang maklumat berkaitan insiden atau kecemasan maritim boleh disalurkan segera ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 03-3176 0627 atau menghubungi 999 untuk tindakan segera.

“Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar mendoakan usaha pasukan penyelamat dipermudahkan dan dua lagi mangsa yang hilang dapat ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat