Jenazah pasangan suami isteri yang ditemui meninggal dunia ekoran dibunuh anak sendiri pada Sabtu dikebumikan bersama dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
Salah seorang waris keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama waris-waris keluarga yang lain.
Menurutnya, jenazah pasangan warga itu dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala.
“Kedua-dua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala selepas waktu Isyak hari ini,” katanya lapor Sinar Harian.
Mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun itu ditemui dalam keadaan menyanyat hati di mana mereka terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Susulan kejadian itu, suspek melarikan diri di kawasan hutan berhampiran rumah mereka sebelum gerakan mencari suspek giat dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).
Suspek berjaya ditangkap pada jam 10.30 malam di bawah terowong Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.