PETALING JAYA: Pasport Malaysia terus mencatatkan pencapaian membanggakan apabila menduduki tangga ketiga dunia dalam ‘Passport Index 2025’, sekali gus membolehkan rakyat negara ini menikmati kemudahan perjalanan tanpa visa ke 174 negara.
Menurut laporan laman rasmi www.passportindex.org, kedudukan itu meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara maju lain yang memiliki akses perjalanan antarabangsa paling luas.
“Pencapaian ini mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap keselamatan dokumen perjalanan Malaysia yang diyakini di mata dunia,” menurut kenyataan itu.
Pencapaian itu sebagai hasil usaha berterusan kerajaan memperkukuh sistem keselamatan, teknologi biometrik dan integriti pengurusan imigresen negara.
Penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan permohonan pasport secara digital dan peningkatan mutu perkhidmatan awam menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pengiktirafan tersebut.
Pencapaian ini juga seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan imej negara berdaya saing, berintegriti dan diyakini di pentas antarabangsa.








