PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan, Rob Friend menegaskan pasukan kebangsaan tidak terbabit langsung dalam sebarang urusan dokumentasi tujuh pemain warisan yang kini disiasat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurutnya, tanggungjawab pasukan kebangsaan hanya meliputi aspek teknikal dan prestasi pemain, manakala semua urusan pendaftaran dan dokumentasi dikendalikan sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Penting untuk saya jelaskan bahawa pasukan kebangsaan tidak terlibat dalam urusan dokumen. Kami hanya fokus kepada strategi, prestasi dan taktikal pasukan,” katanya dalam sidang media khas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat.
Rob menjelaskan, pasukan kebangsaan hanya akan menilai pemain dari segi kemampuan teknikal selepas dimaklumkan oleh FAM mengenai status naturalisasi, tanpa campur tangan dalam aspek pentadbiran atau kelulusan rasmi.
“Apabila FIFA meluluskan status seseorang pemain, kami hanya akan menerima dokumen rasmi daripada FAM. Pada ketika itu barulah pemain berkenaan disahkan bersama skuad kebangsaan,” ujarnya.
Beliau turut mengesahkan menerima makluman rasmi daripada FIFA pada 22 Ogos lalu mengenai siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit, sebelum segera mengambil langkah bagi melindungi kepentingan pasukan.
“Saya bertindak segera untuk memastikan pemain dilindungi dan integriti pasukan kebangsaan terpelihara. Mereka telah berjuang untuk Malaysia, jadi penting untuk kami pastikan mereka tidak menjadi mangsa,” katanya.
Rob menambah, pasukan kebangsaan kini bekerjasama sepenuhnya dengan FAM dan peguam antarabangsa bagi memastikan proses siasatan berjalan telus serta mengelak insiden sama berulang pada masa hadapan.
FIFA sebelum ini mengenakan denda sebanyak RM1.8 juta terhadap FAM serta menggantung tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel, selepas mendapati terdapat ketidakselarasan dalam dokumen pendaftaran pemain berkenaan.








