Pasukan Petugas Khas Siasat Tren LRT Tergelincir – Menteri

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat punca kejadian tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran stesen Chan Sow Lin, hari ini.

Dalam kenyataan rasmi, kementerian berkata, insiden itu dipandang serius kerana ia bukan sekadar gangguan perkhidmatan biasa, sebaliknya membabitkan risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan kakitangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foo berkata, keselamatan awam tidak boleh dikompromi dan tindakan segera perlu diambil.

“Walaupun semua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, kementerian mengambil pendirian tegas serta tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan awam,” katanya.

Beliau berkata, pasukan petugas khas itu diarahkan menyerahkan hasil siasatan kepada Jemaah Menteri dalam kadar segera sebelum laporan berkenaan didedahkan kepada umum.

Pada masa sama, Anthony turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Berhad susulan insiden berkenaan.

“APAD juga sudah membuka kertas siasatan terhadap kejadian ini berkuat kuasa serta-merta.

“Insiden seperti ini mesti ditangani dengan serius dan tiada mana-mana pihak dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” katanya.

Anthony menegaskan aspek keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan awam tidak boleh dikompromi.

“Tindakan tegas termasuk pemecatan perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Katanya, langkah itu penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan rel kendalian Prasarana.

Anda Mungkin Berminat