KUALA NERUS: Himpunan RXZ Members 7.0 mencatat satu lagi kejayaan besar apabila menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM300,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sokongan kepada komuniti permotoran anak muda.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dalam ucapannya di majlis perasmian program itu, menyampaikan salam daripada Perdana Menteri dan mengumumkan sejumlah peruntukan yang akan dibiayai oleh syarikat korporat dan swasta.
“Dalam program tadi saya menyampaikan salam PMX dan juga mengumumkan peruntukan PM sebanyak RM100,000 dan tambahan lagi sebanyak RM200,000 yang akan dibiayai oleh syarikat korporat dan swasta,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI percaya anak muda termasuk komuniti RXZ mempunyai tempat dan suara dalam agenda pembangunan negara.
“Sama-sama kita buktikan bahawa jiwa kental ini bukan hanya di jalan raya tetapi juga dalam membina Malaysia yang lebih maju dan bermaruah,” katanya.
Dalam nada bersahaja, Shamsul turut berkongsi detik lucu apabila diingatkan oleh Pengarah Program RXZ Members 7.0, Mohd Lukhman Hassan, bahawa barisan hadapan pentas telah dikuasai oleh pasukan sorak Kerajaan Negeri Terengganu.
“Terima kasih juga Lukhman sebab ingatkan saya sebelum saya berucap tadi bahawa pasukan sorak MB Terengganu telah menguasai barisan hadapan pentas.
“Tiada masalah Man, kita jalan terus. Adat orang Melayu dan Islam bukan begitu,” ujarnya.
Beliau berharap agar semangat RXZ terus menyala dan berjanji untuk kembali menyokong acara ini pada tahun hadapan.
“Kita jumpa lagi tahun hadapan,” katanya lagi.
Program RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Gong Badak berjaya menghimpunkan lebih 150,000 peserta dari seluruh negara, menjadikannya antara acara permotoran paling besar dan berimpak tinggi di Malaysia.








