Payung Besar Melayu, Jarum Halus Bunuh UMNO – Puad

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi perhatian dengan pelancaran inisiatif Payung Besar Melayu yang dikatakan sebagai langkah untuk memperkukuh kedudukan politik orang Melayu.

Namun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berpendapat ia sebenarnya strategi halus untuk melemahkan UMNO.

“Tun M sekali lagi mahu menipu orang UMNO. Dia menaja pula ‘Payung Besar Melayu’.

“Dia (Mahathir) hanya jemput ahli UMNO tetapi tolak parti UMNO. Dia tahu UMNO tidak akan masuk lubang biawak kali kedua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Puad mendakwa strategi itu bertujuan menarik sokongan ahli UMNO tanpa perlu mereka keluar parti tetapi secara tidak langsung mengalihkan sokongan pilihan raya daripada UMNO.

“Itu jarum halus untuk bunuh UMNO. Maksudnya, sokong kami, tidak perlu keluar UMNO tetapi jangan beri undi kepada UMNO,” ujarnya.

Pada tahun 2024, Tun Mahathir memperkenalkan Payung Besar Melayu, di mana sebuah gabungan yang bertujuan menyatukan kepimpinan politik dan pertubuhan Melayu bagi memperjuangkan kepentingan bangsa.

Inisiatif itu menampilkan beberapa parti dan NGO, namun UMNO tidak termasuk dalam kerangka tersebut meskipun beberapa pemimpin dan ahli UMNO dijemput untuk menyertai.

Langkah itu mengingatkan kepada Kongres Maruah Melayu 2019 yang turut dianjurkan di bawah kepimpinan Mahathir ketika beliau masih Perdana Menteri.

Kongres tersebut membawa mesej penyatuan politik Melayu tetapi gagal mencapai impak yang diharapkan.

Puad turut mengingatkan bahawa perpecahan dalam politik Melayu bukan perkara baharu.

Beliau menyorot kembali ‘Sheraton Move 2020’ yang menyaksikan perubahan landskap politik Malaysia secara drastik sehingga mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas hanya 22 bulan memerintah.

“Semasa PH 1.0 sudah ada Kongres Maruah Melayu (2019) yang ditaja oleh Tun M.

“Ada Piagam Muafakat Nasional (2019). Tetapi gagal kerana asasnya politik,” katanya.

Beliau juga menyindir dengan menyatakan bahawa usaha ini hanya dorongan peribadi yang tidak akan berjaya.

“Maka Payung Besar Melayu sama saja. Nafsu orang tua. Bernafsu tapi tidak mampu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat