PETALING JAYA: Usaha Tun Dr Mahathir Mohamad menghidupkan semula gagasan ‘Payung Melayu’ dilihat sebagai pengulangan naratif lama yang tidak berjaya mewujudkan arus penyatuan kukuh dalam kalangan orang Melayu.
Menurut penganalisis politik, Dr Mujibu Abd Muis, kegagalan pelbagai gagasan Melayu yang dibawa Mahathir berpunca daripada dua faktor utama, iaitu naratif yang tidak konsisten serta persepsi bahawa ia sekadar strategi untuk memastikan kelangsungan politik peribadinya.
“Sejak 2018, kita lihat beberapa kali Tun membawa idea gagasan Melayu—dari Gerakan Tanah Air, Pejuang, hinggalah sekarang ‘Payung Melayu’.
“Tetapi tiada satu pun yang benar-benar mendapat sambutan kerana ia kelihatan kabur. Adakah ia NGO? Parti politik? Inisiatif akar umbi?” soalnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau menambah bahawa kurangnya kejelasan menyebabkan rakyat khususnya generasi muda berasa kurang yakin.
“Mereka melihat ia sebagai sambungan kepada survival politik Tun, bukan sebagai agenda sebenar untuk memperkukuh kuasa politik Melayu,” katanya.
Selain kekurangan naratif yang jelas, Dr Mujibu berpendapat bahawa kredibiliti Mahathir dalam kalangan pengundi Melayu semakin luntur terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan partinya kehilangan sokongan ketara.
“Rekod lampau Tun memang tidak dinafikan hebat tetapi dalam landskap politik pasca-PRU14, beliau dilihat sebagai terlalu ingin kekal relevan.
“Anak muda sudah tidak melihat beliau sebagai tokoh pembaharuan, sebaliknya tokoh lama yang mengulangi pendekatan lama,” katanya.
Malah, arah politik Melayu kini lebih tertumpu kepada Perikatan Nasional, jelasnya.
“Jika benar mahu membawa gagasan Melayu yang kuat, ia perlu lahir daripada tokoh baharu yang diyakini rakyat,” katanya lagi.
Dr Mujibu turut berkata, politik Melayu sedang melalui peralihan generasi dan sebarang usaha penyatuan hanya akan berjaya sekiranya ia bersandarkan kepada naratif yang menekankan isu ekonomi, peluang pekerjaan, dan keadilan sosial dan bukan sekadar etnik dan sejarah.
“Politik identiti masih penting, tetapi ia perlu disertai dengan agenda yang praktikal dan menyentuh terus kehidupan harian orang muda. Kalau tidak, gagasan seperti ini akan terus gagal mengakar,” ujarnya.