PBAKL 2025 tetap lancar, tiada penutupan jalan penuh sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN

Oleh: Aliya Azmi

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dijangka berjalan lancar meskipun bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron menegaskan bahawa tiada penutupan jalan secara menyeluruh sepanjang tempoh sidang itu. Sebaliknya, hanya beberapa laluan akan ditutup secara sementara ketika delegasi melintasi kawasan tertentu.

“Jalan sentiasa dibuka. Penutupan hanya berlaku secara sekejap dan akan dibuka semula selepas laluan digunakan oleh delegasi. Jadi, orang ramai tak perlu risau untuk hadir ke PBAKL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menggalakkan para pengunjung menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan perjalanan ke lokasi acara dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar ibu kota.

PBAKL 2025 yang memasuki edisi ke-41 tahun ini menampilkan pelbagai penerbit tempatan dan antarabangsa, sesi bersama penulis, pelancaran buku dan pelbagai aktiviti menarik sepanjang 10 hari penganjurannya.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan laporan media mengenai penutupan jalan berikutan persidangan peringkat serantau yang turut berlangsung dalam tempoh sama.

“Harapan kami agar penjelasan ini dapat memberi ketenangan kepada para pengunjung. PBAKL tetap diteruskan seperti biasa dan kami mengalu-alukan kehadiran semua,” tambah Mohd Khair.

PBAKL 2025 dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam di WTCKL.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat