PBB Beri Amaran, Hujan Lebat Buruk Keadaan Pelarian Gaza

GAZA: Hujan lebat yang melanda sejak seminggu lalu menambah luka kepada ratusan ribu penduduk Palestin yang sudah pun kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan.

Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa keadaan semakin genting terutama bagi kanak-kanak yang terpaksa berteduh di khemah dan tempat perlindungan sementara.

Jurucakap Unicef, Jonathan Crickx, menggambarkan keadaan malam tadi sebagai ‘amat dahsyat’ dengan hujan begitu lebat sehingga air naik setinggi 15 sentimeter berhampiran pejabatnya.

“Saya sangat bimbang kanak-kanak yang terpaksa tidur dalam pakaian basah akan mengalami hipotermia dan penyakit lain,” katanya memetik laporan BBC.

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas mengesahkan seorang bayi telah meninggal dunia akibat hipotermia, manakala sekurang-kurangnya 11 orang lagi terkorban apabila bangunan runtuh dilanda cuaca buruk.

Sejak gencatan senjata sembilan minggu lalu, PBB dan sekutu meningkatkan penghantaran khemah, selimut serta pakaian.

Namun, terpaksa mengakui jumlah bantuan masih jauh daripada mencukupi.

Hampir 55,000 keluarga dilaporkan terjejas dengan barangan dan tempat tinggal rosak atau musnah dibawa arus hujan.

Lebih menyedihkan, lebih 40 pusat perlindungan kecemasan yang sepatutnya menjadi tempat selamat turut dilanda banjir besar pada Isnin dan Selasa.

Ramai pelarian sekali lagi terpaksa berpindah, menambah keletihan dan trauma yang tidak berkesudahan.

Anda Mungkin Berminat