PBB Kutuk Pembunuhan Wartawan Al Jazeera

GAZA: Dunia kewartawanan sekali lagi digegarkan dengan tragedi berdarah apabila lima wartawan Al Jazeera terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah media berhampiran Hospital al-Shifa, Gaza.

Serangan itu berlaku ketika para wartawan sedang menjalankan liputan kemanusiaan di kawasan yang menjadi tumpuan serangan sejak beberapa minggu lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyuarakan kecaman keras terhadap insiden tersebut.

Dalam kenyataan rasmi melalui jurucakapnya pada Isnin, Guterres menegaskan bahawa pembunuhan wartawan adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kebebasan media.

Beliau turut menuntut agar siasatan bebas dan telus dijalankan segera bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Mangsa serangan dikenal pasti sebagai Anas al-Sharif, Mohamed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Moamen Aliwa dan Mohammed Noufal yang kesemuanya merupakan wartawan dan jurukamera Al Jazeera yang telah lama berkhidmat di lapangan konflik.

Al Jazeera dalam kenyataannya menyifatkan serangan itu sebagai ‘pembunuhan terancang’ dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan Israel bahawa salah seorang mangsa merupakan anggota Hamas.

Menurut rangkaian berita itu, tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan merupakan cubaan untuk membenarkan tindakan yang melanggar hak asasi manusia.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB turut menyuarakan kebimbangan terhadap insiden ini dan menyifatkannya sebagai pelanggaran berat terhadap prinsip perlindungan wartawan dalam zon konflik.

Amnesty International dan Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) pula menuntut agar Israel dipertanggungjawabkan dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri.

Sejak konflik Gaza meletus semula pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 242 wartawan telah terbunuh dan menjadikan wilayah itu antara tempat paling berbahaya di dunia bagi pengamal media.

Serangan terbaru ini bukan sahaja meragut nyawa tetapi turut mengancam suara-suara yang selama ini menjadi saksi kepada penderitaan rakyat Palestin.

Anda Mungkin Berminat