PBSL Ihsan MADANI Bantu Banduan Kembali Ke Pangkuan Keluarga Sempena Aidilfitri

SIMPANG RENGGAM: Seramai 13 banduan dari Penjara Simpang Renggam menerima Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena Hari Raya Aidilfitri 2026, sekali gus memberi peluang kepada mereka kembali ke pangkuan keluarga.

Pengarah Penjara Simpang Renggam, Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata, program PBSL Ihsan MADANI memberi ruang kepada banduan yang layak untuk kembali ke masyarakat dengan lebih selamat, selain menyokong usaha pemulihan dan integrasi sosial agar mereka dapat menyertai kehidupan komuniti secara bertanggungjawab.

“Setiap prospek disaring mengikut kriteria ketat sebelum dibenarkan pulang bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan program pemulihan dalam komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta arahan Ibu Pejabat Penjara Malaysia.

Ia juga merupakan salah satu langkah penting dalam usaha mengurangkan bilangan prospek di institusi penjara.

“Kami berharap kepulangan mereka ini menjadi titik permulaan yang baik untuk menyertai semula masyarakat secara bertanggungjawab,” katanya lagi.

Untuk info, program PBSL Ihsan MADANI dilihat bukan sahaja memberi peluang kedua kepada banduan tetapi juga memperkukuh peranan institusi pemulihan dalam memastikan mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan semangat baharu terutama sempena sambutan Aidilfitri yang penuh makna.

Anda Mungkin Berminat