KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta penganjur satu perhimpunan aman yang dijadualkan berlangsung esok di kawasan Ampang Park, Jalan Ampang, supaya menukar lokasi ke Dataran Merdeka atau Padang Merbok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata keputusan itu dibuat kerana kawasan Ampang Park terletak dalam jarak 50 meter dari zon merah Sidang Kemuncak ASEAN ke–47, yang bermula esok.
“Kawasan tersebut berhampiran Hotel Intercontinental, lokasi penginapan pemimpin dunia dan delegasi mereka, selain Jalan Ampang merupakan laluan utama sidang kemuncak itu,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Fadil menegaskan, pihaknya menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman namun menekankan keperluan mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
“PDRM mengingatkan penganjur serta peserta agar tidak bertindak agresif atau melakukan provokasi sepanjang perhimpunan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, perhimpunan berkenaan dijangka disertai antara 1,000 hingga 1,500 peserta sebagai solidariti perjuangan isu Gaza serta menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Polis akan memperketat kawalan dan menempatkan pegawai serta anggota mencukupi bagi mengelak sebarang cubaan menuju ke kawasan Ampang Park. Keselamatan dan ketenteraman awam kekal keutamaan kami,” tambahnya.
Baca juga:








