KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) siasatan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan terbuka terhadap sebarang pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak berhubung kes tersebut.
Menurut beliau, siasatan yang dijalankan sebelum ini telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan berdasarkan keterangan yang diperoleh ketika aduan dibuat oleh Yusoff Rawther pada 12 September tahun lalu.

“Tiada keperluan untuk mengambil kenyataan YAB Perdana Menteri dalam kes ini kerana tindakan sewajarnya telah diambil pada peringkat awal.
“PDRM berpuas hati bahawa keterangan sedia ada mencukupi untuk membawa pertuduhan terhadap Yusoff tanpa memanggil pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Razarudin menambah, pihaknya akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan untuk mengenal pasti sebarang kelemahan atau kelompangan dalam proses siasatan yang telah dijalankan.
“PDRM bersedia untuk melakukan penambahbaikan melalui penilaian dalaman serta semakan semula SOP siasatan demi memastikan keberkesanan dan ketelusan sistem keadilan jenayah negara,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusoff, sekali gus membebaskannya daripada kedua-dua pertuduhan.
Hakim Datuk Jamil Hussin menyatakan bahawa tiada bukti mencukupi untuk membuktikan Yusoff mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan terhadap dadah serta senjata tiruan yang didakwa ditemui di dalam kenderaannya.
Yusoff dalam pembelaannya mendakwa bahawa barang-barang tersebut telah diletakkan dengan niat untuk memerangkapnya.
Baca juga: