Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar satu sindiket pengedaran dadah berskala besar melibatkan penemuan beberapa makmal haram memproses dadah jenis ketamin, kokain dan MDMA di sekitar Lembah Klang.
dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.53 bilion.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum beberapa siri serbuan dilancarkan pada 16 Disember lalu.
“Ini adalah satu kejayaan besar apabila kita berjaya membongkar makmal dadah yang digunakan untuk memproses dadah jenis kokain dan ketamin dipercayai untuk pasaran luar negara,” katanya di sidang media pada Sabtu.
Dalam operasi berkenaan, polis menahan enam individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun di sekitar Lembah Klang.
Serbuan pertama dijalankan di Cheras membabitkan sebuah rumah dipercayai lokasi penyimpanan dadah. Pemeriksaan lanjut menemukan enam botol cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat tiga kilogram.
Serbuan kedua pula membawa kepada rampasan dadah jenis kokain dalam bentuk serbuk putih dan cecair dengan anggaran berat keseluruhan 738 kilogram (kg) dan dadah jenis cecair kokain 3,303 kilogram (kg) selain pelbagai peralatan memproses dadah.
Serbuan ketiga pula dijalankan di beberapa premis di kawasan perindustrian Sungai Chua dan Taman Industri Mega Bandar Teknologi, Kajang, Selangor.
Polis merampas sejumlah besar dadah jenis ketamin melibatkan serbuk dan cecair dengan anggaran berat keseluruhan 3,024 kilogram (kg), cecair disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 10,067 kilogram (kg) serta peralatan pemprosesan dadah berskala industri.
Kata beliau lagi, pihaknya turut menyerbu kawasan keempat di premis Taman Industri mega di Bandar Teknologi, Kajang Selangor.
Antara rampasan yang berjaya dibuat ialah termasuk 28 guni berwarna putih mengandungi 1,400 bungkusan plastik berwarna kuning berisi serbuk putih yang disyaki dadah jenis ketamin yag anggaran beratnya ialah 1,402 kilogram (kg) serta pelbagai alatan bagi memproses dadah katanya.
Menurut beliau, sindiket terbabit menggunakan rumah kediaman dan premis perniagaan, termasuk sebuah banglo tiga tingkat yang disewa, sebagai makmal haram dan stor penyimpanan dadah.
“Tiga tingkat banglo ini dilengkapi peralatan berskala besar untuk memproses dadah. Premis tersebut disewa dan dipercayai dijadikan pusat utama operasi sindiket,” katanya.
Secara keseluruhan, rampasan melibatkan dadah jenis MDMA sebanyak tiga kilogram (kg) kokain 4,041 kilogram (kg) dan ketamin (14,493 kilogram), dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.53 bilion.
Dadah itu dianggarkan mampu merosakkan seramai 68.5 juta orang sekiranya berada di pasaran.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak April lalu dan mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa, dengan Malaysia dijadikan hab pemprosesan sebelum dadah diedarkan ke luar negara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Ujian saringan air kencing mendapati suspek utama positif dadah jenis ketamin, manakala dua lagi suspek positif methamphetamine dan ketamin.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Disember. Polis turut menyita aset bernilai RM389,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya Pelucuthakan Harta 1988, melibatkan beberapa kenderaan dan sebuah lori.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, pemprosesan atau melindungi aktiviti dadah. Dadah adalah musuh nombor satu negara dan kami akan terus komited memeranginya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya kepada hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-208 7222.
Baca juga:








