PDRM gesa orang ramai waspada panggilan ‘scammer’ menyamar jadi pegawai NSRC

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), menyarankan orang ramai agar tidak termakan dengan tipu helah ‘scammer’ yang menyamar sebagai salah seorang pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Ini berikutan susulan kejadian yang berlaku sejak 1 Januari 2024 sehingga 30 April baru-baru ini, di mana PDRM telah membuka sebanyak 49 kertas siasatan berkenaan kes penyamaran tersebut yang melibatkan kerugian sebanyak RM6,798,548,95.

Pengarah JSJK PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kes sedemikian, mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya merupakan pegawai dari NSRC.

“‘Pegawai’ tersebut kemudiannya memaklumkan pihak NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa ekoran terdapat aduan bahawa nombor telefon mangsa telah digunakan dalam aktiviti penipuan.

“Untuk tujuan siasatan, panggilan kemudiannya akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, mangsa akan diarahkan untuk mengikut segala arahan yang diberikan individu tersebut sehingga mangsa membuat pindahan wang ke akaun bank yang ditetapkan.

Ramli Mohamed turut mengingatkan bahawa NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan berbentuk komunikasi satu hala sahaja.

“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu dan sebarang panggilan yang kononnya daripada pihak NSRC adalah satu penipuan,” tegasnya.

Beliau turut menggesa mana-mana mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan segala insiden yang berlaku dan disarankan satu laporan dibuat kurang dari 24 jam bagi menyekat wang yang telah dipindahkan menjadi lebih tinggi.

Baca juga :

Anda Mungkin Berminat