PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan Program BUDI Madani RON95 (BUDI95), yang mula berkuat kuasa pada 27 September ini untuk warga PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyifatkan langkah itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat khususnya penjawat keselamatan yang bertugas di seluruh negara.
“BUDI95 bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah memperkukuh kesejahteraan sosial dan kestabilan negara.
“Ia juga bukti kesungguhan kerajaan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran secara adil dan berkesan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pengurangan kos bahan api secara langsung mampu meningkatkan motivasi serta daya tahan anggota PDRM dalam melaksanakan tugas menjamin ketenteraman dan keselamatan rakyat.
PDRM turut memuji penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan di stesen minyak yang dilihat seiring dengan usaha pendigitalan negara dan memperkukuh tadbir urus subsidi secara telus dan cekap.
“Pendekatan inovatif ini adalah manifestasi kerajaan dalam mengoptimumkan teknologi, sekali gus memastikan sistem subsidi lebih lestari,” jelas beliau.
PDRM menegaskan komitmen untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan agenda nasional, selain memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara.
Program BUDI95 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin dengan harga subsidi RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter.