PETALING JAYA: Rakyat Malaysia tidak perlu risau lagi kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di fasiliti gas asli cecair di (LNG) milik PETRONAS di Bintulu, Sarawak berada dalam keadaan yang terkawal terjamin.
Perkara itu disahkan oleh, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menjelaskan perkara itu susulan terdapat laporan ancaman yang diterima pada baru-baru ini.
Menerusi sidang media mingguan pada Rabu, Fahmi berkata, PDRM telah mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan premis berkenaan tidak terjejas, manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menilai secara menyeluruh semua aspek berkaitan ancaman terbabit.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada memberi sedikit maklumat terkini dalam Mesyuarat Kabinet, di mana seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, ia melibatkan beberapa pesanan ringkas yang dihantar kepada pegawai PETRONAS.
“Semakan mendapati nombor telefon yang digunakan untuk menghantar ugutan itu berdaftar di negara jiran, bukan di dalam negara. Perkara ini sedang dipantau pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG milik PETRONAS telah diperketatkan serta-merta selepas seorang pegawainya menerima ugutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengesahkan bahawa nombor telefon yang digunakan untuk menghantar ugutan tersebut didaftarkan di Indonesia.
Sementara itu, PETRONAS dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa operasi dan bekalan LNG di fasiliti miliknya di Bintulu tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.








