PDRM Kenal Pasti Akaun Palsu TikTok, Facebook Sebar Ancaman

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa satu kenyataan berunsur ancaman dan tuduhan yang tular di media sosial bukanlah daripada individu sebenar yang dinamakan.

Sebaliknya, siasatan mendapati kenyataan tersebut dimuat naik oleh akaun palsu yang menggunakan nama individu berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Datuk D. Kumar S. Muthuvelu berkata, dua akaun media sosial iaitu TikTok Mo Sodie dan Md Johan Ngadin dikenal pasti sebagai sumber penyebaran maklumat palsu tersebut.

Beliau berkata, tindakan menyebarkan tuduhan tidak berasas melalui akaun palsu adalah satu bentuk jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan reputasi individu.

“PDRM telah menjalankan siasatan dan mendapati kenyataan berunsur ancaman dan tuduhan tersebut bukanlah daripada individu yang dinamakan.

“Sebaliknya, ia telah dimuat naik oleh akaun palsu yang menggunakan nama individu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kes berasingan, katanya, seorang individu turut disiasat kerana memuat naik komen berunsur hasutan dan ancaman di Facebook.

D. Kumar berkata, tindakan tersebut membawa kepada siasatan di bawah tiga peruntukan undang-undang utama iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen 4(1) Akta Hasutan memperuntukkan hukuman terhadap mana-mana individu yang menghasut kebencian terhadap kerajaan atau menimbulkan permusuhan antara kaum.

“Seksyen 506 pula berkaitan intimidasi jenayah melalui ancaman, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menyentuh penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian untuk menyebarkan kandungan yang mengganggu atau mengancam” katanya.

Beliau memberi amaran keras kepada orang awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden yang berlaku.

“PDRM memberi amaran tegas bahawa mana-mana individu yang menggunakan media sosial untuk menyebar, menular, memuat naik, memuat turun atau berkongsi sebarang maklumat tidak benar mengenai insiden yang berlaku akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya,” katanya.

PDRM menyeru orang awam agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang belum disahkan.

Anda Mungkin Berminat