PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mayat kanak-kanak, Zara Qairina, akan digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilakukan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, keputusan itu dibuat selepas laporan siasatan diteliti dan dinilai oleh Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, proses eksumasi dan bedah siasat akan dijalankan segera mengikut Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
“Tindakan ini bertujuan mendapatkan maklumat serta bukti tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan PDRM komited memastikan keadilan ditegakkan dan semua siasatan dijalankan berlandaskan undang-undang, fakta dan keterangan yang sah.
Katanya, siasatan menyeluruh masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
“PDRM akan memastikan segala prosedur dipatuhi demi mendapatkan keadilan dalam kes ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kematian Zara Qairina mendapat perhatian meluas susulan desakan keluarga dan masyarakat untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.








