PDRM Nafi KPN Baharu Terlibat Politik

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan Ketua Polis Negara ke-15, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai ahli kepada mana-mana parti politik tempatan.

Dalam kenyataan media, hari ini, PDRM menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas, mengelirukan dan berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.

Menurut Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah, laporan yang diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini jelas bercanggah dengan fakta dan tidak disokong oleh semakan yang sahih.

“Datuk Sri Mohd Khalid Ismail tidak pernah menjadi ahli atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.

“Dakwaan tersebut mencemarkan reputasi individu serta pasukan secara keseluruhan,” katanya.

PDRM turut menegur keras kecuaian media terbabit kerana menerbitkan laporan tanpa pengesahan fakta yang sewajarnya, sekali gus mencalarkan integriti institusi keselamatan negara.

“Etika kewartawanan menuntut semakan silang dilakukan sebelum menerbitkan sesuatu laporan.

“Laporan yang tidak tepat bukan sahaja merosakkan nama baik individu tetapi juga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara,” tegas kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, PDRM menegaskan komitmen pasukan untuk terus berpegang kepada prinsip neutraliti, integriti dan profesionalisme serta tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej dan keyakinan masyarakat terhadap peranan polis dalam menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.

Anda Mungkin Berminat