PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras memperketat kawalan keselamatan menjelang Perlawanan Akhir Piala FA 2025/2026 antara Johor Darul Ta’zim FC dan Sabah FC yang akan berlangsung pada 14 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Chua Kok Lian berkata, perlawanan yang dijangka menarik kehadiran antara 50,000 hingga 60,000 penyokong itu akan menyaksikan semua pintu stadium dibuka mulai jam 5 petang mengikut keadaan cuaca dan arahan semasa.
Beliau berkata, persiapan rapi dilaksanakan melibatkan pelbagai jabatan dan unit PDRM bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin sepanjang perlawanan.
Menurutnya, pemeriksaan badan dan barangan akan dilakukan di semua pintu masuk dan penonton diingatkan tidak membawa barangan terlarang seperti mercun, suar, botol air, payung, powerbank, minuman keras, objek tajam, laser, rokok, peranti elektronik tertentu dan senjata berbahaya.
Penyokong turut dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam, mematuhi arahan anggota bertugas dan mengelak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar stadium bagi mengurangkan kesesakan serta tindakan saman atau tunda.
“PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan kekacauan atau provokasi. Mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 147 atau 160 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau juga memaklumkan bahawa JSPT Kuala Lumpur hanya bertanggungjawab mengatur pergerakan trafik dan orang ramai dinasihatkan bersabar serta berhemah sepanjang perlawanan.
Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui Hotline Polis Cheras di 03-92050222, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau balai polis berhampiran. Maklumat turut dikemas kini melalui Facebook Polis Daerah Cheras dan Polis KL.
Baca juga:








