KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap satu dakwaan yang tular di media sosial melalui akaun TikTok @berjuanguntukzara.
Kandungan yang dimuat naik oleh akaun tersebut dipercayai mengandungi kenyataan tidak sahih serta berunsur jenayah yang berpotensi menjejaskan kelancaran siasatan pihak berkuasa.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah.
Tambahnya, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melibatkan penyalahgunaan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan kandungan bersifat jelik dan palsu.
Beliau berkata, penularan kandungan tidak sahih seperti ini bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, malah turut mengganggu kelancaran proses siasatan yang sedang dijalankan.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat di media sosial.
Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan mengganggu siasatan akan diambil serius oleh pihak berkuasa.