PDRM Siasat Dua Akaun TikTok Sebar Video Hina Kerajaan

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat dua akaun TikTok yang dipercayai menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penyalahgunaan media sosial yang boleh menggugat keharmonian negara.

Dalam kenyataan media pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, memaklumkan bahawa siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 Bukit Aman terhadap akaun TikTok @zamanharris82 dan @no.wad.

Menurutnya, kes pertama melibatkan seorang bekas penjawat awam yang didakwa memuat naik komen berunsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan serta pemimpin negara melalui akaun @zamanharris82.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kes kedua membabitkan seorang lelaki yang menggunakan akaun @no.wad untuk mempersoalkan tindakan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru yang dipercayai berpotensi mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara.

“Hantaran itu dipercayai berpotensi mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.

Kumar turut berkata, kedua-dua kes ini menunjukkan penyalahgunaan media sosial secara nyata yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

“PDRM tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan atau memuat naik kandungan di media sosial, demi menjaga keharmonian dan keselamatan awam.

Anda Mungkin Berminat