PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan mengganggu ketenteraman awam atau menghalang kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di ibu negara akan ditangani tanpa kompromi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, pihaknya telah menerima maklumat awal mengenai kemungkinan penganjuran beberapa acara atau perhimpunan yang dijangka berlangsung serentak dengan persidangan tersebut.
“Saya menegaskan supaya jangan ganggu acara, jangan adakan aktiviti yang menghalang laluan atau mengganggu ketenteraman awam.
“PDRM tidak akan berkompromi dalam perkara ini,” tegas beliau.
Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini merupakan antara tugasan keselamatan terbesar buat PDRM tahun ini dengan Polis Kuala Lumpur bertindak sebagai hos utama.
Seramai 10,500 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan serta pasukan bantuan seluruh negara akan digerakkan bagi memastikan keselamatan delegasi dan kelancaran acara.
Sebanyak 17 hotel sekitar Kuala Lumpur telah dikenal pasti sebagai lokasi penginapan rasmi bagi pemimpin dan pegawai kanan ASEAN, manakala beberapa laluan utama di kawasan segi tiga emas termasuk sekitar KLCC dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi.
Sidang kemuncak kali ini dijangka menghimpunkan pemimpin utama Asia Tenggara serta rakan dialog strategik untuk membincangkan hala tuju kerjasama serantau, termasuk isu keselamatan, ekonomi, dan pembangunan mampan.








