Oleh: Hanim Nadia
KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbuka untuk disiasat berkaitan apa sahaja kes rasuah yang melibatkan pegawai serta anggota.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak akan menyekat mana-mana agensi, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perbuatan salah laku itu.
“Kita tidak akan bertolak ansur, malah kita akan membantu lagi SPRM. Selama ini, hubungan PDRM dan SPRM sangat baik,” katanya dalam sidang akhbar pada Khamis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.
Tegasnya, pegawai serta anggota PDRM mesti mematuhi semua undang-undang yang ada di Malaysia serta peraturan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.
Tambah beliau, mereka juga mestilah berkhidmat cemerlang bertunjangkan integriti dan tata kelola baik bagi mengelak daripada terjebak dengan sebarang salah laku.
“Saya mengingatkan kepada semua termasuk diri saya sendiri supaya bertunjanglah ke arah integriti dan tata kelola. Perkara tersebut perlu dijadikan landasan perkhidmatan bagi setiap warga PDRM,” katanya.