PDRM Terima Empat Kenderaan Perisai Baharu Perkukuh Keupayaan PGA

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima empat kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) bagi memperkukuh keupayaan Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dalam melaksanakan operasi keselamatan serta taktikal.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perolehan bernilai RM10.72 juta itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rolling Plan 1, melalui kontrak selama 24 bulan bermula 30 Mac 2024 hingga 29 Mac 2026.

“APC jenama International Armoured Group (IAG) model Guardian CEN Level B6 ini mampu membawa lapan penumpang. Ia turut dilengkapi sistem komunikasi dan ciri keselamatan taktikal termasuk radio VHF RMPNET, Portable Tactical Communication, Heavy Duty Winch, Runflat Tire serta sistem gantungan heavy duty,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited Sdn Bhd, Datuk Mohd Nasser Israil kepada Mohd Khalid.

Menurutnya, Skuadron Perisai PGA berfungsi melaksanakan pelbagai penugasan termasuk memberikan perlindungan konvoi, rondaan kawasan, membersihkan halangan jalan raya, mengendalikan sekatan jalan raya serta mengiringi operasi taktikal.

“Skuadron ini juga berperanan dalam pengangkutan anggota dan logistik, bantuan tembakan, operasi menyelamat di kawasan krisis serta mendirikan piket dan pos pemerhati,” jelas beliau.

Empat kenderaan APC berkenaan akan diagihkan kepada tiga briged PGA iaitu dua unit di Briged Tengah serta masing-masing satu unit di Briged Utara dan Briged Tenggara.

Kenderaan APC Guardian ini turut digunakan oleh pelbagai agensi keselamatan antarabangsa seperti Pasukan Pengaman Malaysia di Lubnan (UNIFIL), Lithuania Public Security Service, Chile Gendarmerie, Bulgaria Special Forces, People’s Public Security of Vietnam, Senegal Police Force dan Nigeria Armed Forces, sekali gus membuktikan keberkesanan serta keupayaannya di lapangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat