PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket mega pengedaran dadah jenis ‘heroin base’ dan syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM974,000, hasil dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dilakukan pada 20 Ogos lalu pukul 6.15 petang di lobi sebuah residensi di KL South, Kuala Lumpur, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.
“Hasil serbuan, satu lelaki Cina berumur 29 tahun telah ditangkap bersama dengan rampasan sebuah beg plastik mengandungi dua ketulan mampat disyaki dadah jenis ‘heroin base’ 741.50 gram,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah, namun semakan rekod lampau menunjukkan suspek pernah dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Lanjutan daripada tangkapan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diletakkan di kawasan perumahan Taman Segar, Cheras.
“Pemeriksaan di dalam bonet belakang telah menjumpai satu guni dan satu beg kain berisi lapan ketulan mampat disyaki dadah jenis ‘heroin base’ dengan berat tiga kilogram (kg) dan 20 bungkusan teh cina disyaki dadah jenis Syabu yang beratnya adalah 20.5 kg,” ujarnya.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM974,000 dan mampu menampung penggunaan seramai 420,400 penagih dadah pada satu masa.
Modus operandi sindiket tersebut dipercayai menjadikan kenderaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.
Aktiviti mereka dipercayai bermula sejak Oktober 2024.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 21 Ogos hingga 27 Ogos 2025 bagi membantu siasatan lanjut.
JSJN IPK KL kini giat mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas serta harta-harta berkaitan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
PDRM menerusi JSJN Kuala Lumpur menegaskan komitmen berterusan dalam memerangi musuh nombor satu negara dan menyeru kerjasama awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Hotline JSJN 012-208 7222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.