KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pertukaran dan kenaikan pangkat melibatkan seramai 23 pegawai kanan termasuk lima Ketua Polis Negeri, berkuat kuasa 18 Ogos depan.
Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah, antara nama utama dalam senarai ialah Datuk TS Azizee Ismail yang bertukar dari Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman ke jawatan Ketua Polis Pulau Pinang sambil memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
“Turut menyertai rombakan ialah Datuk Shazeli Kahar, Komandan Maktab PDRM, dilantik sebagai Ketua Polis Selangor (memangku CP) dan Datuk Fadil Marsus, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi JSJ Bukit Aman, dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur (memangku CP).
“Manakala, DCP Adzli Abu Shah, Timbalan Ketua Polis Kedah akan menjadi Ketua Polis Kedah (memangku CP) dan DCP Ab Rahaman Arsad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman bertukar ke Ketua Polis Johor (memangku CP),” kata kenyataan itu.
Sementara itu, katanya, SAC Datuk Md Nazri Zawawi yang sebelum ini mengetuai Unit Lesen Pasukan Urus Setia KPN (Lesen Senjata Api), dinaikkan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
“Sementara itu, 17 lagi pegawai kanan turut dinaikkan pangkat ke DCP, SAC dan Asisten Komisioner (ACP) dan bertukar jawatan,” kata Kamaruzaman.