JAKARTA: Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah mencipta sejarah apabila berjaya mara ke final Kejohanan Indonesia selepas menundukkan pilihan kelima dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min dalam aksi separuh akhir yang sengit di Istora Senayan pada Sabtu.
Dalam perlawanan yang penuh dramatik, pasangan di ranking keempat dunia itu menunjukkan semangat juang luar biasa untuk bangkit selepas tewas di set pertama.
Mereka akhirnya mencatat kemenangan 12-21, 21-17, 21-11 dalam pertarungan selama 64 minit.
Sorakan padu penyokong tuan rumah menambah kehangatan perlawanan, memberikan suasana yang luar biasa bagi Pearly dan Thinaah untuk menampilkan aksi terbaik mereka.
Kini, mereka bersiap sedia untuk menghadapi cabaran terbesar dalam karier mereka apabila bakal berdepan sama ada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Shengshu-Tan Ning atau pasangan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee dalam perlawanan akhir.