Pearly-Thinaah Juara Terbuka Thailand, Tambah Koleksi Trofi

PETALING JAYA: Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, mengukuhkan status sebagai antara pasangan terbaik dunia selepas menjuarai Kejohanan Terbuka Thailand menewaskan gandingan Korea Selatan, Jeong Na-eun dan Lee Yeon-woo dalam aksi final yang berlangsung hari ini.

Pasangan Malaysia itu, yang merupakan pilihan utama dan beregu nombor empat dunia mengatasi lawan mereka dengan kemenangan 21-16, 21-17 dalam masa 57 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Kejayaan ini meneruskan rekod cemerlang mereka, selepas sebelum ini pernah menumpaskan pasangan yang sama pada pusingan kedua Kejohanan Orleans Masters Mac lalu.

Kemenangan ini menandakan gelaran Super 500 kedua Pearly-Thinaah selepas mereka memenangi Kejohanan Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.

Dengan kemenangan terbaru ini, mereka menambah koleksi trofi yang sudah merangkumi Terbuka Hong Kong, Terbuka Swiss 2021 dan Terbuka Perancis 2022 yang merupakan antara kejayaan terbesar mereka dalam karier setakat ini.

Anda Mungkin Berminat