PETALING JAYA: Beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terus membuktikan keunggulan mereka di pentas dunia apabila muncul juara Kumamoto Masters, menewaskan pasangan tuan rumah Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam pertarungan sengit penuh dramatik.
Pasangan ranking kedua dunia itu menutup mulut ribuan penyokong Jepun di Gimnasium Prefektur Kumamoto selepas mencatat kemenangan 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit.
Kejayaan itu bukan sahaja mengangkat semangat skuad negara, malah menandakan gelaran ketiga mereka musim ini dan yang keenam sejak 2021.
Perlawanan akhir ini mengimbau semangat juang luar biasa yang ditunjukkan pada separuh akhir semalam, apabila Pearly-Thinaah bangkit daripada ketinggalan 17-20 untuk merampas kemenangan dengan penuh dramatik.
Dengan kemenangan di Kumamoto, mereka kekal di tangga teratas senarai kelayakan World Tour Finals (WTF) dan membawa pulang hadiah kemenangan bernilai US$37,525 (RM155,190), manakala pasangan Jepun itu menerima RM76,648.
Dominasi mereka ke atas Iwanaga-Nakanishi semakin jelas apabila mencatat tujuh kemenangan daripada sembilan pertemuan setakat ini.
Musim ini juga menyaksikan Pearly-Thinaah mara ke tujuh final iaitu menyamai rekod beregu lelaki legenda Razif Sidek-Jailani Sidek pada 1989.
Namun, rekod terbanyak final dalam semusim masih dipegang Datuk Lee Chong Wei dengan 11 final pada 2010.
Sepanjang karier, pasangan negara ini telah mengumpul kejuaraan di Arctic Open dan Thailand Open (2025), Swiss Open (2021), French Open (2022) serta Hong Kong Open (2024).
Mereka juga muncul naib juara Kejohanan Dunia di Paris tahun ini, menambah kilauan kepada pencapaian gemilang.
Selepas kejayaan di Jepun, Pearly-Thinaah akan meneruskan cabaran di Terbuka Australia minggu depan sebelum beraksi di WTF di Hangzhou, China, dari 17 hingga 21 Disember ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan beregu negara itu.
“Pearly dan Thinaah menghadiahkan Ahad yang cukup manis buat Malaysia dengan menjuarai Japan Masters.
“Prestasi mereka semakin meningkat dan mereka berjaya mengatasi cabaran masing-masing untuk mencapai kejayaan bersama.
“Atlet Road To Gold kita menunjukkan persembahan hebat hingga meraih gelaran ketiga tahun ini,” katanya dalam kenyataan ringkas.








