Kerani akaun mengaku tidak bersalah pecah amanah lebih RM400,000

Seorang kerani akaun syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada Khamis atas 133 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM445,815 antara 2019 hingga 2021.

Teh Ya Ling, 41, yang ketika itu bekerja dengan syarikat penguji ketulenan emas di Jalan Sungai, George Town didakwa telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang syarikat tersebut antara 18 Oktober 2019 sehingga 31 Mei 2021.

Teh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini media melaporkan, timbalan pendakwa raya Lee Jun Keong mencadangkan ikat jamin RM100,000 dikenakan ke atas Teh untuk kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Namun peguam tertuduh, Teoh Kung Yu, memohon mahkamah memberikan jaminan rendah memandangkan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,800 sebulan dan mempunyai tanggungan seorang ayah berusia 81 tahun.

Teoh mencadangkan mahkamah agar membenarkan Teh diikat jamin RM20,000 untuk kesemua pertuduhan.

Hakim Sharmila Abdul Samad kemudian membenarkan Teh diikat jamin RM66,500 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengarahkan dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 9 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen media Harian Metro.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat