Pegawai AADK Negeri Sembilan Didakwa Lepas Individu Positif Dadah

PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan bahawa beberapa pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan didakwa melepaskan individu yang disahkan positif dadah.

Kejadian dilaporkan berlaku semasa serbuan di Kampung Felda LBJ, Labu, Negeri Sembilan pada 8 Mac tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, EAIC memaklumkan bahawa siasatan dijalankan selepas menerima aduan berkenaan kejadian itu selaras dengan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Hasil siasatan mendapati terdapat keterangan yang menunjukkan beberapa individu yang disahkan positif dadah ketika serbuan telah dilepaskan.

“Tindakan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 221 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, beberapa pegawai AADK juga dikesan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menjalankan operasi terbabit,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk dapatan perlakuan jenayah kepada Pendakwa Raya selaras dengan subperenggan 30(1)(c) Akta 700.

Pada masa yang sama, tindakan tatatertib terhadap pegawai AADK yang terlibat juga akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib dengan syor hukuman tatatertib mengikut subperenggan 30(1)(b) Akta 700.

Anda Mungkin Berminat