Pegawai JAS didakwa lepaskan kontena sisa elektronik di Pelabuhan Klang – EAIC

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) didakwa melepaskan kontena-kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Laporan itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang menyatakan kejadian berlaku sekitar Mei 2024.

Menurut kenyataan EAIC, siasatan mengesahkan cubaan pegawai JAS untuk melepaskan kontena tersebut tanpa punca kuasa yang jelas.

“Terdapat juga kebocoran maklumat dalaman berkaitan pertukaran pengarah atau pegawai baharu akan melepaskan kontena-kontena tersebut.

“Manakala kelewatan penyelesaian kertas siasatan oleh JAS berkaitan dengan kontena-kontena tersebut juga berpunca daripada kelemahan penyeliaan,” katanya.

Oleh itu, EAIC memutuskan untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai JAS yang terlibat serta mencadangkan penambahbaikan Prosedur Tetap Operasi (PTO) JAS dan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) JAS.

Pada Mei 2024, EAIC telah menerima maklumat yang didakwa berkemungkinan terdapat salah laku oleh pegawai JAS kerana telah memberi kebenaran untuk melepaskan kontena-kontena yang dipercayai mengandungi sisa elektronik yang pada Ketika itu berada di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Sehubungan dengan itu, EAIC telah menubuhkan satu Pasukan Petugas selaras dengan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] untuk menyiasat dakwaan salah laku pelepasan kontena-kontena tersebut.

Anda Mungkin Berminat