Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Tindakan penyitaan terhadap beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah telah dijalankan ke atas seorang pegawai kanan Tentera Darat yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kes rasuah melibatkan projek perolehan Tentera Darat Malaysia.
Menurut sumber, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini memfokuskan kepada aliran wang yang disyaki masuk ke dalam akaun milik seorang pegawai kanan Tentera Darat, yang kini disiasat sebagai suspek dalam satu kes rasuah melibatkan projek perolehan Tentera Darat Malaysia.
Pada 27 Disember yang lalu, SPRM telah menjalankan operasi penggeledahan di pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta di kediaman rasmi suspek bermula sekitar pukul 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
“Penggeledahan tidak menghasilkan sebarang sitaan wang tunai.
“Namun SPRM telah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan,” katanya.
Kata sumber itu lagi, suspek sepatutnya hadir di Ibu Pejabat SPRM pada 28 Disember lalu, namun beliau telah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada tarikh berkenaan.
Setakat ini, suspek masih menerima rawatan dan belum dapat dirakam keterangan.
Dalam perkembangan yang sama, siasatan tetap diteruskan dengan memanggil saksi-saksi utama melibatkan kontraktor yang dipercayai memperoleh projek berkaitan Tentera Darat.
“Setakat ini, SPRM telah merakam keterangan lima (5) pemilik syarikat, dan jumlah keseluruhan saksi yang telah dipanggil bagi membantu siasatan adalah 10 orang,” katanya.
Dalam pada itu, SPRM sedang menyiasat kira-kira 40 buah syarikat yang disyaki terlibat dalam pemberian wang rasuah, dan siasatan terhadap syarikat-syarikat berkenaan sedang dijalankan secara berperingkat.
SPRM dijangka akan terus memperluaskan siasatan termasuk aspek aliran kewangan, perolehan projek dan kaitan individu serta syarikat yang terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009.
Pada Selasa lalu, pegawai SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Hari ini, pegawai SPRM telah menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan,” kata beliau.
Azam Baki turut mengesahkan bahawa enam akaun bank yang dipegang oleh suspek dan ahli keluarganya telah disita dalam siasatan tersebut.
Baca juga:







