Pegawai Kerajaan Rugi Lebih RM62,000 Ditipu Sindiket ‘Phone Scam’

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai kerajaan mengalami kerugian RM62,930 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ia bermula pada 28 April lalu apabila wanita berumur 43 tahun itu dihubungi ahli sindiket yang menyamar sebagai anggota polis.

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam satu kes penipuan yang sedang disiasat.

“Mangsa yang bekerja di Johor Bahru menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai “Fakrulrazi” daripada “Unit Kawalan dan Pematuhan Komunikasi”.

“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada talian yang kononnya daripada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Ipoh, di mana dia berbicara dengan individu bernama ‘Sin Danish’ dan ‘Insp Simon’.

“Semasa ‘proses laporan’, mangsa diberitahu dia dikaitkan dengan aktiviti pengedaran dadah dan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Raub, mangsa yang panik seterusnya disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai “ACP Dato’ Ahmad Azizul” dan diarahkan membuat pinjaman peribadi dengan janji wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai.

Pada 6 Mei, mangsa telah membuat pinjaman sebanyak RM65,000 daripada sebuah bank di Johor Bahru dan menyerahkan maklumat akaun bank kepada suspek.

“Namun, selepas membuat semakan, mangsa mendapati sebanyak empat transaksi pindahan wang melibatkan jumlah keseluruhan RM62,930 telah dilakukan ke akaun tidak dikenali.

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu dan segera membuat laporan polis. Semakan mendapati nombor telefon yang digunakan sindiket iaitu +89052451222 pernah terlibat dalam beberapa kes penipuan sebelum ini,” jelas Raub.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat