Pegawai PASKAL Muncul Juara AQUAMAN Malaysia

PETALING JAYA: Pulau Tioman, Pahang menjadi saksi kejayaan luar biasa apabila pegawai elit dari Pasukan Khas Laut (PASKAL), Lt Kdr Mohd Aziry Zakri berjaya mengharumkan nama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di pentas antarabangsa.

TLDM dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau dinobatkan sebagai Johan AQUAMAN Openwater Swimming Malaysia 2025 bagi acara AQUAFINS Race kategori 40–49 tahun dan turut mencatat pencapaian membanggakan sebagai kedua terpantas keseluruhan lelaki dewasa (20–80 tahun).

“Mohd Aziry Zakri telah mengharumkan nama TLDM selepas menjadi Johan AQUAMAN Openwater Swimming Malaysia 2025 bagi acara AQUAFINS Race kategori 40–49 tahun.

“Beliau (Mohd Aziry) juga kedua terpantas keseluruhan lelaki dewasa (20–80 tahun) dengan catatan masa 23 jam 10 minit.

Kejohanan yang berlangsung dari 11 hingga 13 Julai itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara termasuk Jepun, Itali, Perancis, Australia, Mexico, Mesir, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Lebih istimewa, TLDM berkata, ini merupakan penyertaan julung kali warganya dalam kejohanan AQUAMAN sejak ia mula diperkenalkan di Malaysia.

“Tahniah dan syabas atas pencapaian yang membanggakan demi nama PASKAL dan TLDM,” katanya lagi.

Untuk info, AQUAMAN Openwater Swimming mula diperkenalkan di Somabay, Mesir dan telah dianjurkan di lokasi ikonik seperti Moscow (Russia), Aswan (Mesir) dan kini Tioman (Malaysia).

Antara acara yang dipertandingkan termasuk AQUAMAN 10.0 Race, AQUAMAN 5.0 Race, AQUAMAN 2.0 Race, AQUAFINS Race, AQUAKIDS Race dan AQUATEAM Relay.

Anda Mungkin Berminat