Polis Johor menahan seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan pada Isnin di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.
Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar S.Muthuvelu, tangkapan telah dibuat terhadap suspek yang berumur 29 tahun di kawasan Seri Alam untuk siasatan lanjut.
“Turut dirampas daripada suspek satu unit telefon bimbit beserta kad sim yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat.
“Selain itu, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tempoh enam hari mulai 23 April sehingga 28 April 2024.
“Susulan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, jika disabit kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah M.Kumar, polis kontinjen Johor komited dalam usaha untuk memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia.
“Mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses penyiasatan.
Baca juga:








