Oleh: Mufarwa Farid
ULASAN | Sebenarnya, ambil kes secara percuma atau pro bono dalam kalangan Peguam bukanlah satu perkara asing.
Sangat biasa, dan ia boleh dikatakan merupakan acara tahunan bagi mana-mana Peguam walaupun berpangkat Tan Sri.
Kebiasaannya, ‘client’ tersebut bukan berpangkat pun. Hampir semua rakyat marhaen.
Saya beberapa kali ambil kes pro bono.
Dalam banyak-banyak kes pro bono yang saya ambil, ada satu kes yang benar-benar terpahat dalam jiwa dan kenangan saya.
Seorang ibu tunggal lima anak, hubungi firma kami kerana beliau dituduh ‘scam’ beberapa orang.
Tetapi sebenarnya, nombor akaun banknya digunakan oleh pihak tak bertanggungjawab untuk ‘scam’ orang.
Pada mulanya, dia ‘call’ dan senyap kemudian letak. Kemudian dia ‘call’ lagi dan senyap, dan sekali lagi dia letak.
Kemudian, dia Whatsapp kami, dan baharu lah kami tahu bahawa dia seorang pekak dan bisu.
Ya, ibu tunggal lima anak yang pekak dan bisu. Katanya dia dituduh di beberapa mahkamah di seluruh Malaysia atas kesalahan tersebut.
Dan dia mengaku, dia tiada wang yang banyak untuk minta bantuan kami. Dia sangat terdesak kerana fikirkan anak-anak. Lalu, ayah saya meminta untuk saya kendalikan kes ini secara percuma.
Kes beliau dijalankan selama hampir dua tahun.
Ya, dua tahun.
Sepanjang 2 tahun, saya hanya ambil RM50 sahaja setiap kes untuk tampung perjalanan saya. Kadangkala apabila beliau tiada wang, saya minta dia simpan saja duit tersebut.
Sepanjang 2 tahun, beliau didakwa lebih kurang enam kes di seluruh Malaysia. Di Negeri Sembilan, Johor, Kedah, KL. Semuanya RM50 sahaja, hanya untuk tampung perjalanan.
Ini belum kira dengan perbelanjaan untuk surat representasi, penghantaran surat-menyurat dan sebagainya. Semua ini memakan kos wang dan tenaga.
Beliau mengaku bagi semua pertuduhan, walaupun bukan beliau yang lakukan ‘scam’ tersebut. Cuma ya, kesalahan beliau adalah memberikan maklumat bank kepada orang yang tak bertanggungjawab.
Beliau tidak mahu panjangkan cerita. Beliau bayar saja denda. Dan beliau minta kami untuk kurangkan denda dan ketepikan hukuman penjara. Pergi ke mana-mana pun naik bas, dan adakala menumpang kereta saya.
Walaupun banyak denda dibayar, keseluruhan denda bagi setiap mahkamah adalah kurang daripada RM1k. Beliau terpaksa pinjam daripada sanak saudara, ibubapa dan kawan-kawan untuk bayar.
Kami berkomunikasi hanya melalui Whatsapp saja kerana dia pekak bisu. Walaupun duduk sebelah-menyebelah, kami tetap akan Whatsapp. Saya tak tahu bahasa isyarat.
Semasa kes terakhir kami, dia serahkan wang berjumlah RM300 kepada saya.
Mengalir air mata saya apabila wang diserahkan bermacam-macam warna. Ada warna merah, ada warna hijau, ada juga warna biru seringgit.
Dia paksa ambil. Katanya, itu saja dia mampu untuk membalas jasa saya yang membantu beliau sepanjang dua tahun.
Saya berkeras kata, duit itu berilah kepada anak-anaknya. Tetapi dia tidak mahu. Dia kata wang itu memang dia niatkan untuk beri kepada saya.
Yang kelakarnya, kami tetap berkomunikasi melalui Whatsapp walaupun sedang berdiri depan-depan.
Tidaklah mengejutkan apabila ada Peguam yang ambil kes secara percuma walaupun hebat mana pun pangkatnya.
Lebih-lebih lagi, kes-kes yang mendapat liputan meluas begini. Ia secara tak langsung dapat memperkenalkan namanya kerana Peguam tak dibenarkan buat pengiklanan. Berbeza seperti di Amerika Syarikat (AS).
Oleh itu, bagi sesiapa yang meragui benarkah ada orang buat kerja percuma, jawapan saya, ya ada. Cuma bukan selalu. Setahun sekali, cukuplah.
Oh ya, Peguam dari Semenanjung dan luar negara tidak boleh beramal di Borneo, kecuali membuat ‘chambering’ di mana-mana firma Borneo terlebih dahulu.
***Penulis adalah pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia
Baca juga: