GEORGETOWN: Seorang peguam gagal dalam usahanya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap pengawal selia internet negara berhubung sekatan yang dikenakan ke atas hantaran Facebook yang diterbitkannya tahun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan kebenarannya.
Peguam itu, Shamsher Singh Thind ingin membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan pengguna laman media sosial di Malaysia disekat daripada mengakses hantarannya pada Mei 2024.
Beliau mendakwa bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melanggar kebebasan bersuaranya dengan menyekat hantaran itu.
Beliau juga mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan pengawal selia itu sebagai tidak sah dan menarik balik “arahan” tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa keputusan untuk mengeluarkan hantaran itu akhirnya dibuat oleh Facebook dan bukan MCMC, oleh sebab itu ia tidak boleh dikenakan semakan kehakiman.
Hakim Anand Ponnudurai berkata, tindakan MCMC bukanlah “keputusan” yang boleh disemak oleh mahkamah dan menegaskan bahawa moderasi kandungan adalah keputusan akhir oleh platform media sosial.
Shamsher yang cuba mengaitkan pemberian kontrak kerajaan kepada suami seorang menteri kabinet, mencetuskan perdebatan hangat dalam talian hingga menyebabkan MCMC meminta Facebook mengehadkan keterlihatannya.
Menurut beliau, Facebook kemudian menyekat hantaran tersebut selepas “penilaian undang-undang dan hak asasi manusia”.
Mahkamah berkata, sebarang tindakan yang sewajarnya adalah terhadap Facebook dan mungkin MCMC di mahkamah sivil.
“Sebarang tindakan, jika ada, adalah terhadap Facebook dan mungkin MCMC di Mahkamah Sivil,” kata Anand.
Memetik laporan FMT, Shamser berkata, beliau tidak mungkin membuat rayuan
“Hakim tidak salah dalam keputusannya dan saya telah menyampaikan maksud saya,” katanya.