Peguam gesa laksana kempen anti buli setiap masa

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pendidikan awal dan kesedaran di setiap peringkat institusi pendidikan adalah langkah penting dalam menangani gejala buli.

Menurut Peguam, Perem Segar, pelajar perlu diberi pendedahan mengenai kesan negatif buli dan cara mencegahnya bagi menanam sifat tanggungjawab dalam diri mereka.

“Untuk menangani isu ini, kempen di sekolah dan di peringkat universiti perlu diperkasa.

“Macam dulu kita ada kempen anti dadah. Dengan kempen ini, kesedaran dari sekolah rendah dan menengah khususnya akan memberi kesan panjang kepada mereka,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Dakam pada itu, Perem juga mengulas bahawa kanun keseksaan yang sedia ada sudah mencukupi untuk menghukum pelaku buli dan tidak memerlukan akta baharu.

“Kanun keseksaan sedia ada dengan hukuman-hukuman bagi kesalahan-kesalahan melibatkan kes buli,” katanya.

Untuk rekod, tindakan membuli yang mengakibatkan kecederaan boleh dituduh mengikut Seksyen 323, 324 dan kesalahan berkaitan perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda boleh dikenakan mengikut Seksyen 325 bagi kesalahan di bawah Seksyen 324.

Baru-baru ini, dua kes buli dilaporkan berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Pada 2 November lalu, seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya.

Seramai 16 individu telah direkod percakapan termasuk pengadu, suspek, pegawai kadet lain, staf, jurulatih dan pegawai perubatan.

Pada 9 November, seorang lagi penuntut tahun satu UPNM mengalami kecederaan parah akibat keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak oleh seorang penuntut tahun tiga.

Kejadian berlaku sekitar pukul 10.45 malam pada 21 Oktober lalu.

Anda Mungkin Berminat