Peguam Negara Sahkan Siasatan Terhadap Dakwaan Pegangan Saham Azam Baki

PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Siasatan telah memulakan siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Moktar yang mengetuai jawatankuasa berkenaan, dalam kenyataan kepada media hari ini.

“Siasatan telah dimulakan dan pada peringkat awal ini, kami sedang mengumpulkan maklumat berkaitan kes tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan memaklumkan bahawa jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Jawatankuasa berkenaan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan penelitian adil terhadap pihak yang terlibat. Dapatan serta syor hasil siasatan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Pihak Berkuasa Tatatertib untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg melaporkan bahawa Azam didakwa memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan dokumen pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagaimanapun, Azam dalam sidang media baru-baru ini menegaskan bahawa pegangan saham bernilai RM800,000 itu dibuat secara telus dan mematuhi prosedur. Beliau turut menjelaskan bahawa tiada sebarang perkara yang disembunyikan kerana pegangan tersebut telah diisytiharkan sepenuhnya, selain saham berkenaan yang dibeli tahun lalu telah dilupuskan dalam tempoh yang sama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat