BARU-BARU ini tular kes seorang pempengaruh dikenali sebagai CEO Batu yang disiasat kerana didakwa menghantar mesej berunsur lucah kepada remaja bawah umur.
Peguam Aminahtul Mardhiah Md Nor memberi peringatan keras kepada ibu bapa supaya jangan mudah beri anak akses kepada media sosial seperti TikTok, Instagram atau WhatsApp tanpa kawalan rapi.
“Kenapa kita benarkan anak-anak ada akaun media sosial dan berhubung dengan orang asing? Telefon sepatutnya hanya untuk berhubung dengan ibu bapa,” katanya.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau dan menyemak telefon anak, serta menghadkan akses mereka kepada aplikasi yang berpotensi membawa risiko.

Tindakan ibu mangsa yang segera membuat laporan polis selepas mendapati mesej mencurigakan di telefon anaknya mendapat pujian ramai.
Namun, Aminahtul Mardhiah menegaskan masih ramai ibu bapa yang tidak mengambil berat dan membiarkan anak-anak mereka bebas berinteraksi di media sosial tanpa pengawasan.
Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan anak bermula dari rumah, bukan hanya di sekolah atau daripada guru.
“Kalau beri telefon kepada anak, pastikan kita kawal dan lindungi mereka daripada segala bentuk bahaya,” ujarnya.
Kes CEO Batu kini dalam siasatan polis dan menjadi pengajaran penting kepada ibu bapa untuk lebih berhati-hati dalam mengawasi aktiviti anak-anak di media sosial.
Baca juga: